Saturday, January 29, 2011

Brader mahu stori


Brader, brader, sini jap..duduk dulu..gua nak stori sikit sama lu..

Gua bukan apa der, gua taknak lu salah faham dengan gua je..sebab tak manis nanti tengok dek orang..lagipun kita kan serumah..

Membe lu sorang lagi yang datang lepak semalam tu taknak join ke? Dah lewat dah ni..gua rasa la..

Semalam gua bosan gua bukak-bukak la tv..Biasa la, time-time Asian Cup cenggini gua mana boleh miss..gua mesti tengok punya..lu cakap je game apa, semua gua layan..Jepun, Korea Selatan, Australia? Lu cakap je..semua dalam kepala gua ni..tapi sebagai rakyat yang patriotik, gua mestilah sokong Malaysia..

Hahaha..Malaysia tak masuk? Lu jangan cuba kencing gua der..lu jangan sesekali cuba mengencing gua..jangan sesekali..gua follow la Asian Cup ni..takkan lu tak tahu striker Malaysia nama Subkhiddin tu..lu ni betul spoil la..banyakkan membaca sikit..

***

Errr..Sori der gua nak tegur sikit, gua rasa baik lu buang Marlboro lu tu. Tak manis la rasanya lu sedut time-time cenggini..

***

Jadi berbalik kepada stori gua pasal semalam tu..sementara tunggu nak tengok Asian Cup, jari-jemari gua tiba-tiba tertekan satu rancangan ni..nama apa entah gua tak berapa nak ingat..tajuk keinsafan lebih kurang cenggitu la gamaknya..

Bila tengok rancangan ni, hati gua rasa syahdu..rasa sempit..terasa sikit sangat amalan gua selama ni..terasa betapa kurangnya buat baik gua berbanding buat jahat. Jadi gua tekad start malam semalam tu jugak gua nak sembahyang banyak-banyak..buat amal banyak-banyak..

Gua betul-betul insaf der..

***

Aduu..gua lupa ambik air semayang plak. Jap..lu stay sini dulu, jangan chow lagi. Kang lu terlepas gua tak jamin.

***

Huh..sori la lambat sikit, ingat nak pegi amik air semayang je tadi tetibe plak sakit perut..tu lambat sikit tu.

Kat mana dah kita tadi? Oh ye, jadi semalam gua sembahyang banyak-banyak. Memang dah tak ingat lain dah. Gua balun sampai subuh, lepas subuh gua ingat nak tidur jap sebelum semayang dhuha. Tahu-tahu gua bangun pukul 1.15 tadi..melepas la dhuha gua.

Tapi takpe, ustaz tv semalam cakap buat amalan fardhu je pun dah cukup bagus untuk permulaan ni. Tu gua tengah tunggu azan sekarang ni tu.

Tengah-tengah tunggu nampak lu nyala rokok pulak. Gua rasa tak elok la lu sedut rokok time-time cenggini. Tak beradab. Sebab gua saspek dah nak stat dah tu.

Eh, jap. Gua stori-stori ni lu dah ambik air semayang blom? Lewat dah ni..Membe lu mana?

***

“Err..mintak maaf bang, saya nak tanya sikit. Betul ke ni boleh follow depan tv je? Takyah pegi masjid?”

“Ish lu ni..mesti la boleh. Jangan la tanya gua soalan remeh temeh macam ni. Ni live dari masjid negara apa. Taraf dia lagi tinggi dari masjid depan rumah kita tu.”

“Ye tak ye jugak ek..macam mana saya boleh tak terfikir selama ni.”

“Dah dah senyap. Imam dah naik mimbar tu. Seingat gua tak elok sembang time orang tengah baca khutbah, kurang pahala. Lagi satu, pegi tukar kain. Nak semayang mana boleh pakai boxer je.”

Saturday, September 18, 2010

Aku tak nak jadi cikgu tadika lepas ni

Membe aku sorang ni nama yasir. Aku kawan dari kecik sebelum tadika lagi. Masa tadika aku ngan dia tadika sama-sama kat tadika saidatina fatimah 3 kat serdang. Aku pergi tumpang kereta pakcik razali, ayah yasir.

Yasir ni bagi aku memang ada-ada cita-cita sejak kecik lagi. Dia nak jadi doktor, boleh rawat mak dia kalau mak dia sakit dia cakap. Dan betul, memang sekarang dia kat mesir ambil sijil pendoktoran dia.

Tak macam aku. Tiru budak-budak kat tadika je dulu. Kalau cita-cita tu bunyi macam best, aku tak banyak soal nak aje. Lecturer la, engineer la, bunyi omputih sikit aku dah takjub walaupun aku pun tak tahu mende sebenarnya tu. Paling sedih, aku pernah ingat aku tengok cerita ada sorang arkitek pegang kertas besar-besar naik bangunan pusing-pusing tengok buruh buat kerja. Naik bangunan pun pakai tie, sekejap tunjuk-tunjuk drawing sekejap tunjuk kat sana sini.

Memang stail habis.

Habis cerita tu, aku cakap kat mak aku cita-cita aku nak jadi orang buat rumah. Yang aku maksudkan arkitek, tapi aku tak tahu lagi istilah tu masa tu so aku cakap aku nak jadi orang buat rumah. Aku bercakap penuh dengan impian dan wawasan. Malangnya mak aku salah faham.

“nak jadi buruh takyah belajar tinggi-tinggi pun takpe..”

Kakak aku kat sebelah mengia-iakan kata-kata mak aku. Aku syak dia nak mintak duit sekolah ekstra lima posen esok.

Mimpi aku beberapa jam tadi musnah. Semangat nak pergi tadika hilang.

Masa tadika dulu assignment yang diberikan kadang-kala agak mencabar. Lukis bendera Malaysia paling cantik tanpa meminta bantuan ibu bapa, ingat rukun iman dan rukun islam siapa tak ingat tak boleh duduk, buat baju dan kotak kertas, tampal-tampal kertas warna-warni menggunakan gam empat puluh sen, membentuk plastesin, mengukir ubi menggunakan pisau lipat untuk dibuat cop, mewarna telur, dan aktiviti-aktiviti seumpamanya yang mencabar minda kanak-kanak.

Bila aku masuk UIA, aku harap aktiviti-aktiviti lasak sebegini akan disediakan sebagai madah utama kokurikulum bagi melahirkan insan madani yang terpimpin. Tapi ternyata aku hampa.

Masa tadika jugak ada bab mandi-manda sewaktu petang sebelum ibu bapa datang menjemput anak-anak mereka usai melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan konsentrasi kanak-kanak tahap dewa seperti yang telah aku nyatakan kat atas.

Kat tadika aku ni, mandi-manda bercampur antara kaum adam dan hawa. Mandi pun ada yang tak pakai apa-apa. Kiranya istilah human right and human freedom ni dah lama kitorang apply, amerika jangan bising-bising bangga diorang yang buat dulu.

Sampai satu masa, yasir mula rasa tak senang duduk. Dia tertanya-tanya apakah aktiviti mandi petang ni merupakan aktiviti yang sopan dan dibenarkan syarak. Hati kanak-kanaknya membara ingin tahu. Aku tak tahu berapa lama dah dia pendam. Yang pastinya ia ibarat sebutir bom jangka sahaja yang menunggu masa untuk meletup. Dan satu hari, apa yang dipendam terluah jua..

“Cikgu, boleh ke kitorang mandi sama-sama macam ni? Saya rasa benda macam ni tak elok untuk pembentukan minda anak-anak yang sedang membesar..dari segi rohani mahupun jasmani..”

………??

Haha..

Aku tak pernah ada cita-cita nak jadi cikgu tadika lepas tu. Serius.

p/s: bagi memastikan tujuan entri yang ditulis ini tercapai, 70% isi soalan kanak-kanak bernama yasir tersebut telah ditokok tambah mengikut budi bicara penulis supaya para pembaca dapat membayangkan kesukaran seorang cikgu tadika untuk menjawab soalan tersebut..

Monday, August 30, 2010

hari ini gua bikin sejarah


[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

[5]Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar


(Al-Qadr 97:1-5)


Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadhan.'


(hadis sahih riwayat Bukhari)


Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah swt. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah:


'Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa'fu anni' bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.


(at-tirmizi 5:535)


***


30/08/2010 - first time blog aku ada faedah. Nak kena tulis masuk diari kemas-kemas ni.


Font mesti mau bold.


Bukan apa, takut lupa. Buat modal cerita kat anak cucu karang-karang.


"Dulu atuk ada tulis blog islamik."



Thursday, June 10, 2010

wawasan 2020


“Abu, kenapa habis basah baju kamu ni?”

“Saya ada wawasan, cikgu. Sebab tu saya basah.”

“Hah, Apa kaitannnya? Dr Mahathir pun ada wawasan, tapi tak basah pun.”

“Tadi saya ambil air sembahyang, cikgu. Habis satu tangki air surau. Orang cakap, saya ada wawasan.”

“…...”

“Emak saya pun selalu marah bila saya angkat takbir banyak kali masa nak mula sembahyang. Dia cakap saya ada wawasan. Itu tak baik.”

“…...”

* * * * *

“Errr.. cikgu..berbalik kepada apa yang cikgu cakap tadi. Betul ke?”

“Yang mana?”

“Dr Mahathir….ada wawasan jugak...?”

Friday, June 4, 2010

songsang

haha..

bagus..bagus..cadangan yang baik.

boleh nikah terus kalau bapaknye setuju..

Friday, May 28, 2010

rumahtangga yang retak

“Apa maknanya semua ni bang??! Apa maknanya semua ni??!”

“Yang, jangan jerit-jerit macam ni yang..malu kat anak-anak..”

“Aaahh!! u selalu bagi alasan yang sama!!”

“ Jangan la degil macam ni yang..”

“Habis, cuba u explain kat i, apa maknanya semua ni???!!”

“Sayang!! u jangan buat i hilang sabar!!!”

“Tapi bang, i tak faham..apa makna semua ni..”

“Kan i dah cakap, kalau u tak faham, ambik la dictionary tu.. Orang lain sibuk nak baca suratkhabar omputih u pun sibuk nak baca jugak! Pastu mula la terpekik melolong macam orang gila…!!”

Si jantan terus berlalu pergi..

Rumahtangga ini..bagaimanakah akhirnya?

Friday, May 21, 2010

Tahukah anda...? episod 2

Uban merupakan bulu-bulu roma berwarna putih yang sering kelihatan pada diri seperti rambut, janggut, misai dan sebagainya. Uban selalunya dikaitkan dengan proses penuaan seseorang individu. Ia juga dikatakan berlaku seiring dengan proses berfikir yang banyak. Lebih banyak otak berfikir lebih banyaklah uban yang akan kelihatan.

Bagaimanapun, kucing anda si putih bukanlah seekor kucing yang kuat berfikir walaupun bulunya kelihatan lebat berwarna putih. Ia juga tidak mungkin berlaku akibat proses penuaan kerana ia baru lahir bulan lepas.

Anda tidak perlu terlalu risau dengan keadaan si putih sehingga memaksa anda mendapatkan nasihat 7 pakar rambut sunsilk. Ini kerana ia merupakan satu perkara normal bagi seekor kucing. Belailah ia dengan manja dan penuh kelembutan sesuai dengan fitrahnya sebagai seekor kucing. Renung-renungkan, dan selamat beramal!