Saturday, May 8, 2010

Konfiden

Jika kau fikirkan kau boleh,

Kau hampir boleh melakukan,

Jika kau fikirkan ragu-ragu,

Usahamu tidak menentu..

First time aku bawak basikal aku pun dah tak berapa nak ingat kenangan tu. Tapi yang penting aku konfiden. Sebab tu aku boleh bawak basikal. Buat apa-apa pun yang penting mesti ada konfiden baru kerja jadi. Aku dengar satu lagu kat tv2.

Basikal tu ala-ala basikal lumba anuar manan. Dekat hujung hendel ada pemegang besi macam tanduk kerbau. Bangga beb. Tapi anuar manan punya basikal saiz l aku punya saiz s, budak-budak punya basikal.

Dulu kalau mak aku suruh pergi kedai aku liat-liat. Sekarang aku yang siap tanya kalau-kalau ada barang yang nak suruh dibeli kat kedai. Kalau takde pun paksa jugak biar bagi ada. Ada sekali tu aku pergi kedai parking kat sebelah sorang pakcik yang tengah tunggu sape entah kat motor dia.

“ Cantik basikal. Jual kat pakcik boleh?”

Aku senyum-senyum. Aku yakin pakcik tu ikhlas. Tak mungkin dia nak mengorat aku. Aku masih kanak-kanak. Lagipun aku lelaki, dia pun lelaki.

Aku senyum lagi.

Sejak ada basikal ni aku dah jarang menceburkan diri untuk bermain bola kat tengah jalan. Aku lebih cenderung untuk meningkatkan prestasi pecutan aku. Membe-membe aku masih cekal dengan bola sepak jalanan yang dah berapa kali masuk longkang kutip balik. Kulit dah tercabut sana sini. Bau sebijik macam longkang. Serius.

Bola sepak jalanan ni banyak risikonya. Kalau takde nasib, tengah syok tunjuk skill ala-ala azman adnan dan rembatan ala-ala rusdi suparman sedar-sedar bola dah bergolek laju masuk longkang. Siapa yang buat tu pandai-pandai la. Masuk longkang ambik bola pergi basuh. Selalunya paip depan rumah aku yang jadi mangsa.

Lepas basuh kena hentak-hentak dulu kat jalan untuk hilangkan semaksimum mungkin cecair yang masih melekat. Dah sambung main semua takut-takut kat bola sebab tengah basah lagi dengan aroma yang kurang menyenangkan. Poyo je semua. Padahal bau bola tu dengan bau sekor-sekor pun dah tak boleh nak beza. Sama je. Bila bola dah kering permainan kembali rancak.

Baru je kering masuk longkang balik.

Aku bawak laju-laju. Eksen depan membe-membe yang tengah main bola. Diorang tengok aku sambil meneruskan aktiviti perbolaan diorang. Selalunya kalau kereta lalu aktiviti jalanan akan berhenti seketika untuk memberikan laluan.

Aku bajet diorang akan membuat perkara yang sama jika aku memecut kat situ. Aku silap.

Ada ke patut diorang tak beri laluan kat aku. Ego kanak-kanak laki-laki aku semakin tercabar. aku pecut makin laju. Bola bergolek-golek tengah jalan. Aku konfiden. Pedal basikal semakin kuat aku ganyah. Diorang tengok aku. Aku tak tengok diorang, maintain fokus kepada pecutan. Bola terus bergolek. Lagu tv2 terus berirama di dalam hati. Jangan haraplah aku nak berhenti.

Dan petang itu berlalu seperti biasa, tetap pada janjinya untuk berjumpa malam..tak seperti kebanyakan manusia..

“Aimaaaaannn!! Balik rumah mandiiii!! “

Aku bersiap-siap nak pergi mengaji kat rumah ustaz subhan. Sapu-sapu dashing kat badan. Tengok cermin. Sikat rambut belah tengah, tengok-tengok muka buat apa yang patut. Aku bukak mulut. Gigi depan aku satu dah tinggal separuh. Makan tar tadi.

Aku senyum. Buat-buat konfiden.

Tak guna punya lagu.

4 comments:

  1. Terbaek!!!... ko nie mmng pndai berkarya la... Teringat ms kecik2 dulu...

    ReplyDelete
  2. haha..tq..
    zaman kanak2 mmg masyuk..

    ReplyDelete
  3. best la citer ni...ala2 blh buat cerpen dah ni..hehe

    ReplyDelete
  4. ini kalau aku submit time UPSR dulu konfem dapat A. Cikgu Rosli mesti sayang aku lebih.

    ReplyDelete